Thursday, May 29, 2014

Pelbagai Jenis Cucur

CUCUR JAGUNG.


Bahan:

3 tongkol jagung (Jagung disagat/ hiris dari tongkolnya)
3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
2 labu bawang besar (dadu)
Garam secukup rasa
Air

Cara:
Satukan tepung gandum, tepung beras dan garam. Mausukkan jagung dan bawang yang didadu. Bancuh dengan air hingga mendapat kepekatan yang sesuai.



Goreng dalam minyak dengan api yang sederhana. Angkat dan tos kan.




COKODOK PISANG.





Bahan:

10 biji pisang emas (yang kecil-kecil tu)
3 cawan tepung gandum
4 sudu besar gula pasir
1/2 sudu teh soda bikarbonat atau 1 sudu teh baking powder
Garam 1 sudu teh
Minyak untuk menggoreng.

Cara:
Lenyekkan pisang, masukkan tepung gandum, serbuk penaik/ baking powder dan garam. Gaul sebati, kalau bancuhan terlalu pekat, tambah sedikit air. 

Panaskan minyak, dan ambil sejemput sejemput kedalam kuali (pakai sudu pun boleh), tapi saya lebih suka pakai tangan. Goreng hingga masak. Api jangan terlalu besar.

 






CUCUR IKAN BILIS.

Bahan:

3 cawan tepung gandum
1 labu bawang besar - (hiris)
3 biji bawang merah
Segenggam/ secukupnya ikan bilis (bersihkan, belah 2)
Daun kunyit (pilihan.. kalau tak ada pun tak apa - dihiris halus)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng.

Cara:
Tepung gandum, bawang, daun kunyit serta garam disatukan dalam bekas. Bawang merah ditumbuk kasar bersama 1/4 bahagian ikan bilis. Satukan kedalam tepung tadi, tambah sedikit demi sedikit air. 

Panaskan minyak, dan ambil sejemput sejemput kedalam kuali (pakai sudu pun boleh), tapi saya lebih suka pakai tangan. Goreng hingga masak. Api jangan terlalu besar.

 


CUCUR NASI.

Bahan:

2 cawan nasi sejuk (dikisar dengan 2 cawan air)
2-1/2 cawan tepung gandum
1 labu bawang besar, (potong dadu atau hiris pun boleh)
1 biji cili merah (cincang halus atau hiris)
Perencah udang, atau ikan bilis atau udang kering
Daun kucai/ atau kunyit (pilihan.. kalau tak ada pun tak apa)
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng.

Cara:
Tepung gandum, bawang, cili, daun kucai/ atau kunyit dan bahan perencah serta garam disatukan dalam bekas. Nasi yang telah dikisar dicampurkan dengan tepung gandum, gaul sebati. Kalau bancuhan terlalu pekat, tambah sedikit air. 

Panaskan minyak, dan ambil sejemput sejemput kedalam kuali (pakai sudu pun boleh), tapi saya lebih suka pakai tangan. Goreng hingga masak. Api jangan terlalu besar.


~ Selamat mencuba ~

Sunday, May 25, 2014

Kuih Getas






Bahan:
1/2 biji kelapa parut
2-1/2 cawan tepung pulut
1/2 cawan tepung gandum
1cwn air (atau secukupnya)
1sudu teh garam


Untuk sira gulanya;
1/2 cawan gula
1/2 cawan air

Cara:
Satukan kelapa, tepung pulut dan tepung gandum dalam bekas, masukkan garam, gaul. Masukkan air sedikit demi sedikit (jangan cair sangat.. nanti susah nak bentuk), uli hingga jadi doh lembut. Bentukkan doh mengikut citarasa. 


Bentukkan doh sebesar nugget

Goreng dengan api sederhana.

Air dan gula dimasak dalam kuali, biar betul-betul pekat baru masukkan kuih yang telah digoreng tadi. Kacau hingga kering.

Air dan gula dimasak hingga pekat. Berbuih macam ni tanda gula telah pekat.

Masukkan kuih yang telah digoreng dan boleh tutup api, kacau hingga jadi seperti ini.


~ Selamat mencuba ~

Sunday, May 18, 2014

KUIH KOCI PULUT HITAM 3 VERSI







Bahan;
  • 1 cawan pulut hitam (rendam semalaman)
  • 2-1/2 cawan tepung pulut
  • Sedikit garam
  • Air
  • Dadih (1 biji santan bersama 1/2 sudu teh garam dimasak atas api hingga pekat)
  • Daun pisang, dilayur dan digunting.
Bahan Inti;
  • Kelapa parut (jangan diambil kulit arinya)
  • Gula merah atau gula melaka secukup manis (terpulang pada citarasa masing-masing)
  • 2 helai daun pandan 
  • 1/2 sudu teh garam
Bahan Dadih;
  • 3 cawan santan
  • Sedikit garam
  • 2 sudu besar tepung beras - pilihan, jika tak letak pun tak apa (sukatan jangan membukit)
Dadih asli tidak menggunakan tepung beras, penggunaan tepung beras hanya untuk memekatkan dadih tersebut, jika menggunakan santan sahaja, mengambil masa yang lama untuk dadih tersebut pekat.

Caranya:
  • Untuk inti: Campurkan bahan-bahan inti kedalam periuk dan masak dengan api perlahan hingga sedikit kering. Kalau kurang manis boleh tambah gula pasir. Bila dah sebati dan agak kering, keluarkan daun pandan dan ketepikan.
  • Pulut hitam dikisar bersama air (agak cair sedikit pun tak apa.., asalkan senang nak kisar) hingga hancur. Masukkan kedalam bekas bancuhan, masukkan tepung pulut dan gaul bersama (seperti nak buat onde-onde), sekiranya bancuhan masih keras.., tambahkan sedikit air. Pastikan tidak terlalu lembik, yang penting.. ianya senang dibentuk.
  • Untuk penyediaan dadih, campurkan semua bahan dan masak atas api hingga pekat. Dadih yang asli.. tiada campuran tepung beras, hanya menggunakan santan dan sedikit garam, masak atas api perlahan sehingga pekat. 
  • Ambil sedikit bancuhan tepung, bulatkan dan buat lubang ditengah, masukkan inti, tutup dan bulatkan sekali lagi. Kuih koci ini boleh dimasak secara 3 versi;
          - Versi Tradisional
          - Versi kukus bersama dadih, kemudian bungkus
          - Versi rebus didalam air panas, angkat, letakkan atas daun pisang, curahkan dadih dan bungkus.

Santan dimasak atas api hingga pekat

Ambil sedikit tepung, bulatkan seperti guli dan masukkan inti kedalamnya, tutup dan bulatkan kembali.

Buatkan lubang/ nipiskan bancuhan

 Masukkan inti dan ditutup


Bulatkan kembali

Sedia untuk dibungkus dengan daun pisang

Versi Tradisional

Letak atas daun dan sudukan dadih keatasnya

Bungkus dan letakkan dalam loyang berlubang (kalau tak berlubang pun boleh)

Siap bungkus semuanya bolehlah dikukus.

Kuih koci yang siap dikukus

Versi kukus bersama dadih baru dibungkus. 

Kuih koci boleh dikukus dengan dadih tanpa membungkusnya 

Setelah dikukus, barulah dibungkus dengan daun pisang.


~ Selamat mencuba ~

Monday, May 12, 2014

Bebola Daging Atkins






Bahan:

300g daging (blend terlebih dahulu)
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar ketumbar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Telur 2 biji (asingkan putih dan kuning)
Sedikit garam dan minyak untuk menggoreng.


Cara:
Satukan kesemua bahan dalam blender termasuk kuning telur (putih telur digunakan untuk mencelup sebelum digoreng).  Blend hingga hancur.

Campurkan semua bahan


Masukkan kuning telur


Daging yang telah siap diblend bersama


Panaskan minyak, ambil anggaran 1 sudu besar, celup dalam telur putih yang telah dipukul sedikit dan digoreng hingga masak.