Wednesday, November 30, 2016

Stabilised Whipping Cream

Rasanya tidak terlalu manis dan tidak muak memakannya. Sesuai untuk digunakan sepeti filling untuk pavlova. Stabilised whipping cream ini tidak tahan panas. Untuk kek pertunangan dan perkahwinan, kek bersalut krim ini tidak sesuai diletakkan di luar. Ia hendaklah disimpan di dalam peti sejuk dan dikeluarkan apabila hendak dihidangkan. 


Bahan:
2 sudu besar gelatin
4 sudu besar air
2 cawan whipping cream
1/2 cawan gula icing
1 sudu teh esen vanila.

Cara:
  • Sebelum kita mulakan untuk buat Stablised Whipped Cream, pastikan mangkuk pemutar dan alat pemutar di simpan atau di sejukkan dulu dalam peti ais selama 15 minit. Pastikan Whipping Cream benar2 sejuk baru keluar dari peti ais.
  • Mula-mula kita masukkan air dulu dalam sebuah mangkuk kecil, kemudian barulah masukkan gelatin dan kacau rata. Panaskan bahan ini di atas api perlahan sehingga gelatin melarut. Sejukkan bahan gelatin ini pada suhu bilik ketepikan.
  • Keluarkan mangkuk dan pemutar dari peti ais, tuangkan whipping cream dan putar dengan kelajuan sederhana. Masukkan esen vanila dan gula sedikit demi sedikit hingga ia hampir mengeras. Tuangkan gelatin dan terus putar hingga ia kental. 
  • Pastikan tidak terlebih pukul kerana adunan akan berair dan sudah semestinya ia tidak boleh di gunakan lagi.
Pavlova yang menggunakan  stabilised whipping cream.

Kaya Karamel



Seronok kan kalau dapat buat kaya sendiri? Sekarang ni semuanya mahal.., apa kata kita buat jer sendiri.. jimat.

Bahan:
  • 5 biji telur
  • 200 g gula pasir
  • 1-3/4 cawan santan
  • 3 helai daun pandan (simpulkan)
  • 1-1/2 sudu besar tepung jagung  + 1- 1/2 sudu besar air

Bahan Karamel:
  • 50 g gula pasir

Cara:
  • Pecahkan telur dalam mixer, masukkan santan dan gula. Pukul sebati dan tapis.
  • Masukkan adunan dalam periuk (seeloknya non-stick). Masukkan daun pandan dan panaskan dengan api perlahan. Dengan menggunakan senduk kayu, kacau berterusan adunan hingga masak (anggaran 20 minit). Untuk memekatkan kaya, campurkan bancuhan tepung jagung dan kacau sebati.
  • Panaskan gula dalam periuk/ kuali sehingga cair, bila karamel bertukar keperangan, tutup api dan masukkan karamel ke kaya tadi, kacau sebati. Kaya akan jadi warna perang. Tutup api dan sejukkan. 
  • Bila kaya dah sejuk, keluarkan daun pandan dan masukkan kaya dalam blender dan blend untuk menghilangkan bintil-bintil (jika ada). Blend hingga kaya silky smooth consistency dan tanpa bintil, simpan kaya dalam botol.

Tips:
Kalau rasa susah sangat nak buat karamel tu, boleh saja gunakan 1 cawan gula, panaskan hingga cair dan bertukar warna keperangan dan masukkan air perlahan-lahan dan kacau hingga agak likat (seperti madu).

~ Selamat Mencuba ~





Tuesday, November 29, 2016

Teknik menghasilkan Cream Cheese Frosting yang terbaik.

Bagaimana nak hasilkan Cream Cheese Frosting yang baik? Setelah berkali-kali saya buat.. tetapi masih gagal.. selalunya cream cheese frosting saya tidak smooth, bergentel dan kerap kali lembik.. hinggakan kalau saya piping gunakan nozel, bunga yang dipicit akan kembali merata (tidak boleh bertahan).

Orang kata try and error.. saya tak give up.. cuba dan cuba. Rupanya ada rahsia nak dapatkan hasil frosting yang baik.

Antara tips;

Kalau boleh butter dan cream cheese biar berada pada suhu bilik, pada pengamatan saya.. keluarkan cream cheese terlebih dahulu (misalnya biarkan 30 minit pada suhu bilik) dan biarkan butter berada dalam 20 minit pada suhu bilik. Tak perlu guna butter mahal pun, sebab butter mahal (contoh anchor) ni cepat melt kalau kita letak kat luar. Maksudnya.. kelembutan sebelum memukul cream cheese dan butter biar agak-agak sama.

Gula icing perlu diayak terlebih dahulu sebelum mencampurnya kedalam adunan. 

Jom kita lihat bagaimana nak adunkannya.


Saya biasa gunakan cream cheese jenama Philadelphia dan butter jenama buttercup. Kedua-dua butter dan cream cheese dipotong dadu dan dimasukkan kedalam mixer (saya guna K-beater). Mulakan dengan speed minimum, dah bergaul keduanya baru guna speed tinggi sikit. Pukul sampai gebu dan agak keputihan. 


Butter dan cream cheese disatukan dan dipukul perlahan dah bergaul keduanya baru guna speed tinggi sikit. Pukul sampai gebu dan agak keputihan. 

Ayak gula aising. Masukkan sedikit demi sedikit dan pukul sebati. Masukkan dalam 1/3 dulu ke dalam cream cheese yang dah gebu tu, pukul kejap, kemudian masukkan lagi sikit, dan pukul... buatlah sampailah habis.

Bila dah masukkan gula terakhir tu, baru pukul lagi dengan speed laju sikit sampai sebati semuanya hingga jadi lebih likat dan creamy. Jangan pukul lama-lama, takut jadi lembik.
~Selamat Mencuba~

Pelbagai Resepi Buttercream

Buttercream adalah krim yang dperbuat daripada campuran butter, krimwell, gula aising dan esen vanila. Ada juga baker yang campurkan adunan buttercream dengan sedikit shortening, mungkin mereka suka pada rasa shortening agaknyalah. Tapi bagi saya, pure buttercream adalah seratus peratus campuran krimwell, gula aising dan esen vanila sahaja

Biasanya untuk buttercream, perlu pukul lebih kurang 30 minit agar betul-betul lembut. Kebaikannya, krim jenis ni sesuai untuk semua jenis kek terutama butter cake, dan harganya pun agak murah. Tektur buttercream ni sedikit berminyak dan agak muak. dan ianya tidak tahan dengan cuaca panas, maka pastikan ia diletakkan ditempat yang tidak kena cahaya matahari atau dalam bilik berhawa dingin.

Jom kita lihat bahan-bahan dan cara buat buttercream ni.


BASIC BUTTERCREAM.

Menggunakan butter dan krimwell. Tekstur sedikit berminyak dan ianya adalah krim yang tahan lama kalau diletakkan diluar. Mudah untuk dibawa ke mana-mana, dan tidak mudah cair. Sesuai untuk Birthday kek atau cupcake. Juga amat sesuai untuk membuat deco bunga atau paten-paten yang nak dideco atas kek. Mudah diuruskan dengan penggunaan nozel. 


Bahan-bahan:
80 gm butter
250 gm krimwell
1/2 cawan gula icing
1/4 cawan golden sirap


Cara;
Butter dipotong kiub kecil. Satukan butter bersama creamwell dan pukul hingga kembang dan putih. Gula icing diayak, masukkan gula icing dan golden sirap ke dalam butter yg telah dipukul kembang tadi. Gaul rata semua bahan ini dengan menggunakan spatula sehingga bercampur sebati. Kemudian bolehlah di letakkan pewarna mengikut warna pilihan. Masukkan butter cream dalam piping bag dengan nozel pilihan dan bolehlah paip kan pada kek.

Cup cakes yang menggunakan Buttercream. 
Sumber gambar: Shahrull


Sekian dulu, saya akan update lagi bila saya jumpa resepi-resepi buttercream yang lain ya...

Apa itu Krimwell?



Apakah itu krimwell?. Saya mencari ni pun disebabkan dalam resepi buttercream untuk hiasan kek ada tertulis krimwell atau Bahasa Inggeris nya creamwell.

Krimwell ni tekstur dan warnanya adalah seperti lemak sayuran (vegetable shortening). Sama seperti tekstur marjerin tetapi berwarna kuning pucat. Ia tidak perlu diletakkan di dalam peti sejuk dan selalu dijual di dalam bekas plastik lutsinar yang bertutup kemas.

Warna krimwell yang agak keputih-putihan memudahkan aising diwarnakan. Kita boleh gunakan pewarna biasa atau esen di dalam botol. Hanya beberapa titik diperlukan. 

Bila membahagikan aising, pastikan secukupnya saja kerana ianya boleh ditambah lagi jika perlu. Sekiranya gemarkan aising yang manis, boleh tambahkan gula aising. 

Krimwell keluaran Lam Soon Edible Oils (ISO 9001:2000) dengan Logo HALAL yg diiktiraf Kerajaan Malaysia mencatatkan bahan seperti berikut: 

minyak kelapa sawit (palm oil)
minyak isirong kelapa sawit (palm kernel)
pecahan minyak sawit (palm fraction)
minyak bunga matahari (sunflower oil)
air dan garam (water and salt)
kondisioner makanan (permitted food conditioner)
bahan perisa (flavouring substances)
bahan pengawet dan antipengoksida yang dibenarkan (preservatives & antioxidants).

Kek Kukus Buah







Bahan-bahan:

Bahan A
300 g gula halus
250 g butter
300 g mixed fruit
50 ml air panas
2 sudu susu pekat

Bahan B
350 gm tepung gandum
2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil cream of tartar
1 sudu kecil serbuk buah pala

Bahan C
1 sudu teh esen vanilla
3 biji telur gred A
 sudu besar jus oren

  

Cara membuatnya:

Langkah 1 (menyediakan gula hangus - A); 

 


  • Goreng gula dalam kuali sehingga gula cair, perlahan2 masukkan air panas.., teruskan mengacau sehingga sebati. Masukkan butter, kacau dan biar hingga butter cair, masukkan susu pekat dan mixed fruits, terus kacau (api boleh diperlahankan) sehingga buah2 tu macam meletup2 kecil. Tutupkan api dan biarkan sejuk/ suam
  • Sediakan acuan (saya guna bekas plastik 8"x8") dan pengukus.

Langkah 2 (menyediakan bahan kering - B).

  • Satukan tepung gandum, soda bikarbonat, cream of tartar dan serbuk pala. Ayak semua bahan. Masukkan sedikit demi sedikit hingga habis kedalam bahan A, gunakan pengaup dan kaup sebati. 

Langkah 3 (menyediakan telur - C)

 

 

  • Telur, esen vanila disatukan. Pukul hingga kembang (saya guna blender jer). Tuangkan telur kedalam adunan tadi, masukkan jus oren dan gaul sebati. Tuang kedalam acuan, pastikan acuan bertutup. (boleh juga guna aluminium foil, yang penting wap air tak masuk) 
  • Isi penuh air kukusan, kek ini perlu dikukus lebih kurang 4 jam. Bila air di dalam kukusan dah mendidih barulah letakkan kek untuk dikukus. 
  • Sekiranya semasa proses mengukus air hampir kering, tambahkan air pada kukus dengan air panas. 
  • Walaupun perlu kukus selama 4 jam (saya kukus 3-1/2 jam) dengan api yang sederhana. Bila kek dah masak, biarkan ia sejuk sedikit sebelum di keluarkan dari kukusan. Keluarkan kek dari acuan bila ia dah sejuk. Kek kukus ini tahan lama.
  • Proses menyimpannya ialah, balut kek dengan wraping plastik, kertas minyak atau kertas aluminium


~ Selamat Mencuba ~
Nota:
Kek ini lebih sedap dimakan selepas 2 hari. Cukup sekadar hand whisk dan jangan gunakan mixer, kerana jika terlalu dipukul adunan akan menghasilkan kek yang agak kering.

Semasa dikukus, kek mesti dibungkus dengan aluminium foil. Sebelum dibungkus cucuk-cucukkan kek dengan lidi penyucuk sate dan tuangkan 1 sudu kecil jus oren sunquick atau epal atas lubang untuk melembabkan kek.

Simpan dalam tupperware dan bolehlah dipotong untuk dimakan selepas seminggu. Jangan masuk fridge. Makin lama kek makin sedap dan berkilat. Pastikan tangan dan pisau yang digunakan semasa memotong adalah kering. Kek boleh disimpan selama 6 bulan - 1 tahun.

Monday, November 28, 2016

Pelbagai Cream Cheese Frosting

Cream cheese frosting ni memang kegemaran keluarga saya. Saya akan gunakan cream cheese frosting atau topping kepada Red Velvet Cake dan Walnut Carrot Cake.

Cream cheese frosting ni ssebenarnya adalah adunan butter, cream cheese, gula dan esen vanilla. Ada juga yang mencampurkannya dengan whipping cream

Kebanyakkan baker menggunakan cheese cream frosting ni untuk RV cake dan Walnut Carrot Cake. Keburukkan krim ni.. dia tak tahan lama, memang cepat melt. Maka kita perlu menyimpannya ditempat yang sejuk.

Jom kita lihat campuran cream cheese frosting ni..

CREAM CHEESE FROSTING 1.
Buttercream cheese topping, sesuai untuk carrot cake atau red velvet. Ada yang menggunakan ratio cream cheese, butter dan gula kepada 2:1:1 iaitu 2 bahagian cream cheese - 1 bahagian butter dan 1 bahagian gula. Tetapi untuk membolehkan buttercream cheese topping bertahan dan tak jatuh jika pipe menggunakan nozel.., jumlah butter dan jumlah cream cheese mestilah sama (dari segi berat).

Bahan-bahan:
250g cream cheese
250g butter (seeloknya guna buttercup jer)
120g gula aising (boleh kurangkan ikut citarasa)
1 sudu besar perahan lemon atau sun quick.

Cara:
Pukul cream cheese dan mentega sampai lembut dan gebu. Setelah itu masukkan gula aising yang telah diayak terlebih dahu, putar lagi sampai kembang.. Sapu pada kek yg telah sejuk dgn berhati2...

Walnut Carrot Cake yang menggunakan cream cheese topping



CREAM CHEESE FROSTING 2
Adunan cream cheese frosting agak lembik, sesuai untuk Red Velvet Cake

Bahan:
250g cream cheese
50g butter
120g gula icing
1 sudu besar perahan lemon atau sun quick
1 cawan whipping/ fresh cream - pukul hingga kaku

Cara:
Pukul dulu whipping cream hingga kaku (soft peak), ketepikan. Dalam bekas lain, pukul cream cheese dgn butter sehingga lembut, perlahankan speed mixer kepada kelajuan rendah dan masukkan gula icing yang telah diayak sedikit demi sedikit sehingga bergaul sempurna. Campurkan whipped cream yg telah kaku tadi dan gaul dgn spatula.

*Adunan cream Cheese Frosting ni agak lembik. Boleh ditambah sedikit creamwell untuk memudahkan mendeco atas kek.

Red Velvet Cake yang menggunakan cream cheese frosting




Tips:
  • Anda boleh tambahkan jus lemon atau orange sun quick sebanyak 1 sudu kecil pada setiap resipi jika suka.
  • Kebiasaannya, saya menggunakan cream cheese yang masih sejuk (baru keluar dari peti), dan mentega pada suhu bilik. Tiada masalah untuk menggunakan mentega sejuk, malah mudah untuk kita membentuk bunga.
  • Adalah sering disarankan menggunakan 'unsalted butter'. Tetapi ia tetap bergantung kepada citarasa anda. Macam saya, lebih suka menggunakan mentega Anchor (salted). Atau kalau untuk makan sendiri, guna je Buttercup. Tak cacat pun rasa...dan boleh di sedapkan lagi dengan mascarpone ;)
  • Untuk frosting kek RV dan rainbow, elok digandakan setiap adunan. Untuk RV selalunya menggunakan tidak kurang dari 500g cream cheese, manakala rainbow dalam 700g sebab banyak layer.