Resepi ni saya dapat dari kawan saya yang berasal dari Pakistan. Bermula dengan dia menghadiahkan Nasi ini semasa majlis ulangtahun kelahiran saya yang ke 45 tahun lepas, dari situ saya mula meminati Nasi Biryani Pakistan. Ia tidak menggunakan minyak sapi mahupun susu. Dalam resepi ini banyak menggunakan bawang besar dan tomato. Maka rasanya sedikit masam2, maka tak lah muak sangat seperti kalau kita menggunakan minyak sapi.
Bahan-bahan:
1kg beras basmathi ~ saya beli basmathi 'ekstra panjang' (harga dalam RM 27 untuk 2kg)
1 ekor ayam ~ potong 12 (kalau ayam kampung lagi ok, boleh diganti dengan daging atau kambing)
1kg bawang besar ~ dihiris
1kg tomato ~ belah empat
12 biji cili hijau (dibelah 2)
15 biji cili padi (di blend halus - kalau nak pedas boleh tambah lagi)
Rempah Biryani Masala (Saya gunakan brand Shan, boleh didapati di Carrefour)
1 sudu pes asam jawa (kalau nak sedikit rasa masam)
3 helai bay leaf
Minyak masak untuk menggoreng
Garam dan serbuk perasa
5 inci halia (dihiris jejari)
Sedikit daun pudina
Sedikit daun ketumbar
Sediakan juga arang untuk memasak dibahagian tudung periuk. Dinasihatkan gunakan periuk biasa yang bertudung rata tu.
Cara penyediaan:
Bersihkan ayam dan sediakan bawang serta tomato.
hirisan bawang besar, tomato, ayam, bay leaf dan rempah yang digunakan.
PERINGKAT MEMASAK BIRYANI AYAM.
1. Panaskan kuali dengan minyak (minyaknya perlulah banyak, macam kita nak masak cucur), masukkan bawang besar yang siap dihiris, masukkan bay leaf. Goreng hingga agak kecoklatan, masukkan tomato dan cili hijau yang dibelah dua. Goreng hingga tomato lecur dan tak nampak lagi bentuk buah tomato masukkan juga cili api yang telah dikisar.
2. Masukkan ayam, kacau selalu dan goreng hingga ayam agak masak dan bawang serta tomato agak kering. Masukkan rempah biryani masala, perasakan dengan dan kacau anggaran 5-10 minit (Rempah masala dimasukkan setelah ayam agak masak adalah untuk mengelakkan rempah dari cepat hangit). Matikan api. Minyak yang berlebihan perlulah disaring keluar.
Kelihatan buah tomato yang digoreng, diikuti ayam yang digoreng hingga masak. Minyak lebihan perlulah disaring keluar dan taburkan dengan hirisan halia dan daun-daun.
3. Sebelum merebus beras, bakar arang terlebih dahulu. Arang ini akan digunakan pada peringkat akhir memasak dimana ia akan diletakkan diatas tudung periuk. Sediakan peralatan seperti periuk untuk merebus, periuk untuk memasak dan tapis untuk menapis beras setelah direbus 3/4 masak.
PERINGKAT MEMASAK NASI.
Didihkan air, sebelum tu rendam beras dalam 20 minit (supaya hasilnya nasi akan lebih panjang), basuh beras dan bila air telah mendidih, masukkan beras dan masak selama 6-8 minit (sehingga menjadi nasi separuh masak) dimana nasi menjadi butiran yang lembut dan tidak keras. Tapis beras yang 3/4 masak tadi.
PERINGKAT MEMBUAT NASI BIRYANI GAM:
1. Masukkan 1/3 bahagian nasi ke dalam periuk dan ratakan.
2. Masukkan separuh dari biryani ayam tadi bersama daun pudina, daun ketumbar dan hirisan halia dan ratakan menutupi bahagian nasi.
3. Masukkan lagi 1/3 bahagian lagi nasi menutupi ayam dan ratakan.
4. Masukkan baki biryani ayam tadi, ratakan.
5. Akhir sekali masukkan lebihan nasi yg tinggal dan ratakan.
6. Tutup periuk (ikat tudung periuk dengan kain bersih, kain batik pun boleh - ini untuk mengelakkan wap dari keluar sewaktu memasak) dan masak dengan api perlahan. Seeloknya letakkan steel plate (atau tudung periuk pun boleh) diantara api dan periuk untuk mengelakkan nasi hangit. Masak anggaran 15 minit.
7. Buka tudung periuk, kacau nasi bersama ayam tadi, kain pengikat tudung periuk dikeluarkan, dan letakkan bara arang diatas tudung periuk. Api dibawah dipadamkan, dan biar sehingga 15 minit dan ianya sedia untuk dimakan.